Kembara PhD – ‘Backup’ Hasil Kerja Anda

Entah kenapa, masalah ‘data lost’ atau ‘hard disk’ rosak sering melanda saya sewaktu belajar.

Insiden kecut perut yang pertama berlaku sewaktu saya di tahun akhir pengajian kejuruteraan di Imperial College. Kurang 2 bulan dari tarikh akhir untuk menghantar laporan kajian, PC saya tiba-tiba ‘hang’. Bila saya ‘restart’, tiba-tiba keluar mesej hard disk ada masalah dan data tak boleh diakses.

Waktu itu memang saya sudah hampir mahu menangis (mungkin sudah menangis juga sedikit). Kerja yang saya buat sepanjang tahun tiba-tiba hilang begitu sahaja.

‘Macam mana aku nak buat balik semua program tu dalam masa 2 bulan je, ” hati mula tak keruan.

Saya terpaksa menulis kembali kod-kod perisian yang saya reka selama ini, bermula dari kosong! Mujurlah saya ada juga membuat catatan bertulis di buku nota. Dari situ, saya mula sedikit demi sedikit, bersengkang mata.

Sekali sekala, saya akan bermesej dengan kawan-kawan yang telah tamat pengajian seperti Saiful Rizal untuk meluahkan perasaan. Banyak kata-kata semangat yang mereka beri untuk saya terus tamatkan apa yang saya dah buat sekian lama.

BERGENANG AIR MATA

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga siapkan projek tahun akhir tersebut. Di hari graduasi, bergenang air mata saya memikirkan pada satu ketika, saya hampir tidak dapat bergraduasi akibat berhadapan dengan risiko projek akhir tahun yang tak siap.

Sewaktu dalam pengajian PhD, laptop saya pula yang buat hal. Kes yang sama, laptop ‘hang’, kemudian semua data-data di dalam hard disk itu tak dapat diakses. Habis segala gambar-gambar kenangan bersama keluarga juga turut hilang.

Mujurlah pada ketika itu, saya ada membuat sedikit backup terhadap kod-kod yang saya tulis. Walaupun tidak semua, sekurang-kurangnya kali ini saya tidak bermula dari kosong. Dalam masa seminggu, saya dapat jelmakan kembali perisian yang telah hilang itu.

Pesan saya, ‘backup’ segala dokumen, gambar, kod, dan segala benda yang kita simpan dalam komputer kerja kita secara berkala. Kalau ada duit, buat lebih dari satu ‘backup’. Ada jenis dokumen yang kita boleh dapat semula dengan mudah. Ada jenis dokumen yang tak boleh dapat lagi. Maka untuk mengelakkan kita menangis (benar-benar menangis) di kemudian hari, amalkanlah petua ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>