Kembara PhD – Pertandingan Fotografi

Pertandingan Fotografi

Buat kajian untuk PhD memang ‘stress’.

Ada orang kata PhD = Permanent Head Damage!

Jadi kalau sedang buat kajian untuk PhD, perlu juga cari aktiviti yang melegakan otak yang serabut. Ada yang pergi melancong, bersiar-siar, beli kereta Mercedes mata kacanglah, mata belalanglah.

Saya ‘release tension’ dengan pusing-pusing ambil gambar.

BELAJAR FOTOGRAFI

Saya mula berjinak-jinak dengan fotografi sewaktu sedang belajar A-Level di Bedford. Di sekolah saya, setiap hari Rabu selepas waktu makan tengah hari ialah waktu aktiviti ko-kurikulum. Kami bebas untuk pilih kelab atau kategori apa kami nak sertai. Tahun pertama musim luruh, saya pilih komputer. Pada musim bunga, saya pilih fotografi.

Waktu itu, saya belajar guna SLR yang klasik, yang perlu gulung filem guna tangan setiap kali kita ambil satu gambar. Saya juga belajar bagaimana cuci filem dalam bilik gelap. Memang payah mengopek kelongsong filem ‘KODAK’ dalam keadaan teraba-raba begitu, sebab bilik gelap itu memang betul-betul GELAP.

Saya tak tahu generasi sekarang tahu atau tidak bagaimana rupa kelongsong filem KODAK.

Cubalah tanya pakcik Google.

ERA DSLR

Waktu saya sampai di Southampton, sudah bermula era digital. Kamera SLR saya nampaknya dah sampai ke penghujung hayatnya lalu saya jual di kedai kamera terpakai dengan harga GBP80 sahaja.

Sedih,

sebab kamera itu banyak merakam perjalanan hidup ketika bujang.

Tapi bila sudah berkahwin, lebih banyak gambar yang saya rakam dengan DSLR;

gambar isteri, gambar anak-anak, gambar keluarga, gambar pemandangan.

Kamera DSLR pertama saya (sekarang pun itulah dia juga), Canon EOS 30D. Merata-rata saya bawa dan ambil apa saja gambar. Yang paling banyak gambarnya sudah tentu gambar anak-anak saya.

Sedikit demi sedikit, saya belajar bagaimana nak perbaiki teknik fotografi. Dengan DSLR, kos untuk belajar murah sedikit sebab kalau terambil gambar yang salah, boleh terus ‘delete’ dengan percuma. Tak ada filem yang dibazirkan. Waktu SLR dulu, banyak gulungan filem yang saya bazirkan semata-mata sebab mahu cuba ‘setting’ yang berbeza.

PERTANDINGAN FOTOGRAFI

Kebetulan, School of Electronics and Computer Science (ECS) anjurkan pertandingan fotografi ketika itu. Memang saya tak lepaskan peluang

Ada 4 kategori, semua kategori saya masuk.

Saya ambil gambar waktu pagi atau waktu matahari terbenam membawa ke malam sebab ketika itu pencahayaannya paling cantik. Saya jelajah seluruh pelusuk kampus dan bandar Southampton untuk dapat pemandangan paling ‘wow’ dan ‘setting’ paling bagus.

Kadang-kadang lama juga berdiri duduk di satu-satu lokasi hingga sejuk tangan memetik picu kamera. Hingus meleleh jangan cerita. Layankan saja. Nak dapat gambar terbaik punya pasal.

Alhamdulilah, 2 gambar saya berjaya menang hadiah. Satu gambar dapat tempat kedua kategori Highfield Campus. Satu lagi dapat Highly Commended untuk kategori Research.

Bolehlah tahan, masuk 4, dapat 2. 50% mengena.

Beberapa hari selepas itu, saya ambil cek dari pejabat ECS. Lepaslah juga nak guna buat belanja dapur dan belanja anak isteri makan luar.

Siapa-siapa nak buat PhD, saya cadangkan cari aktiviti ‘release tension’ macam saya. Tension pun hilang, duit pun dapat :-)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>