Kembara PhD – Tough

“Sambung belajar ke mana?”, kata En. Shaari yang menguruskan segala dokumen untuk semua staf yang ingin menyambung pengajian.

“UK lah. Dah biasa di sana,” balas saya sambil tersenyum.

Sejak tamat sekolah menengah, kecuali 3 bulan di Shah Alam untuk kursus persediaan, saya menghabiskan masa remaja saya di UK. 2 tahun saya di Bedford untuk A-Level dan 4 tahun di London untuk ijazah sarjana kejuruteraan.

6 tahun bukan satu masa yang singkat. Banyak yang saya pelajari sewaktu di sana; budaya, sistem, sikap dan pelbagai pelajaran hidup yang sempat saya kutip sambil menyudahkan pengajian.

Maka tak hairanlah kalau saya memilih UK juga sebagai destinasi untuk kembara seterusnya dalam hidup saya; memburu segulung ijazah Doktor Falsafah atau PhD. Orang kata tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bolehlah saya mengimbau kenangan silam sambil-sambil memerah otak membuat kajian nanti.

“UK lagi, carilah tempat lain. Jepun ke, Australia ke, tak berkembanglah,” Encik Shaari cuba memberikan pilihan.

Memang, memang saya rasa seronok juga untuk mencuba belajar di negara lain. Namun saya fikir biarlah persekitarannya cocok dengan jiwa saya. Tak perlu ambil masa untuk sesuaikan diri, untuk tahu budaya setempat atau untuk belajar cara berkomunikasi yang lain.

“UK ni susah sikit nak lulus. Tough. Kau pergi Jepunlah. Orang Asia biasanya suka tolong orang Asia.”

“Tak apalah Encik Shaari. Saya dah biasa hidup di UK. Biasa dengan budaya, bahasa, sistem. Jadi boleh terus buat kerja. Insha-Allah, rasanya saya okey saja nanti di sana.”

“Okey, aku bagitahu saja. Sebab banyak juga kes yang tak lepas di UK ni.”

“Terima kasih. Insha-Allah saya ingat nasihat Encik Shaari tu.”

Secara jujurnya, memang saya sendiri tidak pernah mengkaji peratusan staf yang lulus PhD di UK. Berapa orangkah yang pergi namun tidak pernah pulang melapor diri? Berapa orangkah yang menukar penyelia? Berapa orangkah yang tidak dapat dihubungi langsung?

Semua itu saya tidak tahu. Pada hemat saya, pentingkah untuk saya tahu?

Bagi saya, gagal dalam pengajian itu perkara biasa. Waktu saya di London pun, ramai kawan-kawan yang sama penaja dengan saya akhirnya pulang ke Malaysia lebih awal dari jangkaan. Semuanya disebabkan gagal dalam peperiksaan. Masing-masing ada sebab dan kekangan sendiri yang menghalang mereka dari meneruskan pengajian.

Saya yakin, saya takkan sampai ke tahap itu. Ya, saya sangat yakin dengan kebolehan dan potensi diri yang saya ada.

Sejak dari sekolah rendah, saya tak pernah mengalami kegagalan. Sentiasa di tempat pertama, sentiasa menang pelbagai pertandingan, sentiasa dipuji guru, sentiasa mengumpul hadiah, semuanya sudah saya rasa.

Begitu juga di sekolah menengah, pelbagai rekod sekolah dalam SPM telah saya pecahkan, walaupun saya tidak berjaya mendapat 10A1 yang diidam-idamkan ketika itu. Kejayaan saya ini membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke UK, bermula dari peringkat A-Level hingga ke ijazah sarjana.

Saya juga graduan dari Imperial College, London. Nama yang cukup gah. Sebut sahaja nama itu, semua akan kagum. Semua majikan ingin melamar, ibarat anak dara yang menjadi pujaan jejaka kampung.

Dengan kejayaan-kejayaan yang saya tempa ini, saya yakin saya cukup sedia untuk melangkah ke satu lagi tahap; PhD!

“Takkanlah susah sangat…”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>