Kembara PhD – Tukang Cuci di Waktu Malam

Tukang Cuci Di Waktu MalamMenjelang 2007, saya dikurniakan anak kedua, dan tugasan baru menanti saya sebagai tukang cuci. Kalau sebelum ini saya perlu bertugas di waktu awal pagi, kini saya perlu bertugas di waktu malam selepas waktu bekerja.

Saya dipasangkan dengan seorang wanita dalam lingkungan umur 50-an. Berkaca mata, rambutnya sudah putih keseluruhannya, dan dia berbangsa Welsh. Sudah menjadi kebiasaan, golongan makcik ini memang peramah dan banyak ceritanya. Melaluinya, baru saya tahu yang bahasa ibunda Wales ialah Welsh, dan bahasa keduanya barulah bahasa Inggeris. Mujurlah dia tidak bercakap Welsh dengan saya, walaupun kadang-kadang saya kurang faham loghat bahasa Inggerisnya.

Kalau waktu pagi ialah masa untuk mempersiapkan bangunan-bangunan di sekitar universiti, waktu malam pula ialah masa pembersihan. Maka saya dan makcik itu ditugaskan mencuci 2 buah kafeteria yang terbesar di universiti itu. Dalam hati saya sudah mula berkata,

“Janganlah aku kena pegang sandwic bacon dan segala jenis babi. Tak larat nak seretu.”

Saya terbayang pengalaman sewaktu A-Level. Bersekolah dengan budak-budak bawah umur, ramai yang bermain-main dengan makanan termasuk melempar bacon dan yang sewaktu dengannya ke arah kawan-kawan. Jadi saya sudah ada pengalaman buruk dengan najis mughallazah ini.

TERKESIMA

Di kafeteria pertama, saya perlu mengemop dewan makan sampai ke dapur. Mujurlah mat saleh dewasa ini semuanya makan berhemah. Jarang sekali jumpa makanan di lantai. Hati saya sedikit lega. Selepas waktu kerja, dewan makan ini kosong. Jadi saya berseorangan mengemop di dewan yang luas ini. Alhamdulillah, tak berjumpa pula dengan hantu orang putih.

Selesai mengemop, saya perlu menggunakan vakum (kegemaran saya) untuk menyedut habuk di ruang berpermaidani. Di kawasan ini, masih ramai pelanggan yang duduk berbincang sambil minum kopi atau minuman keras.

Pada mulanya saya agak serba salah untuk mengganggu mereka yang sedang duduk-duduk. Namun sebaliknya berlaku, mereka dengan rela hati berdiri atau berpindah tempat duduk apabila nampak saya ingin membersihkan kawasan tempat mereka bersembang itu. Apabila selesai, mereka kembali ke tempat duduk tadi lantas mengucapkan terima kasih.

Oh, saya sangat terkesima. Walaupun saya warga asing dan tukang cuci pula, mereka masih lagi menunjukkan budi bahasa yang tinggi. Saya kira di Malaysia pun, jarang kita melayan warga Bangladesh sebegini. Tapi itulah mereka. Layanan sebegini membuatkan hati saya lebih berbunga-bunga untuk menarik Henry ke hulu ke hilir.

Seterusnya, kafeteria kedua, atau lebih tepat lagi, sebuah restoran. Di sini juga kosong tanpa pelanggan. Hanya saya dan makcik itu bersama-sama membersihkannya. Tugas saya, selaku lelaki ‘macho’ yang kuat tubuh badan, ialah mengangkat semua kerusi dan meletakkannya di atas meja untuk memudahkan kerja mengemop.

SANDWIC PERCUMA

Yang menariknya di sini, selepas habis segala kerja, saya dan makcik tersebut akan diberi sandwic percuma oleh pengurus kafeteria. Biasanya saya akan memilih sandwic salmon atau udang dan mayones, yang mahal dan sudah tentu saya takkan beli kalau ia tidak percuma.

Sandwic ini kalau tidak dimakan, memang akan dibuang sebab tarikh luputnya ialah keesokan hari. Orang Malaysia pantang dapat barang percuma, lebih-lebih lagi makanan. Memang saya borong semua bawa pulang.

Satu dari sandwic tadi biasanya saya berikan pada adik-adik ‘junior’ yang datang ke rumah membantu isteri saya menjaga bayi yang baru lahir. Mereka datang menjadi ‘babysitter’ atas dasar ingin membantu meringankan beban tanpa mengharap apa-apa balasan. Cuma saya suka berkongsi makanan percuma ini tanda terima kasih. Hingga hari ini, saya masih lagi berterima kasih pada mereka, yang masing-masing sudah ada anak dan bayi sendiri untuk dijaga.

Itulah cerita menjadi tukang cuci di waktu malam. Daripada takutkan terpegang sandwic babi, dapat pula bawa pulang sandwic mahal yang ‘free’. Duit dapat, perut pun kenyang. Alhamdulillah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>