Kembara PhD – Tukang Cuci di Waktu Pagi

Tukang Cuci di Waktu PagiSewaktu saya masih dalam tahun pertama pengajian, saya mengalami sedikit masalah kewangan. Duit biasiswa yang diberikan tidak mencukupi untuk sara hidup. Pada ketika itu, kami cuma dapat GBP800 sahaja untuk bayar sewa rumah, bil-bil dan beli barangan dapur. Kami tidak pergi melancong ke mana-mana. Sungguhpun begitu, ia masih tidak cukup, akaun bank sentiasa negatif.

Berdasarkan pengalaman saya belajar di London, saya kira sudah sampai masanya saya berkecimpung sekali lagi dalam profesion saya yang dulu, iaitu menjadi tukang cuci. Kalau dulu saya menjadi tukang cuci di kediaman pelajar/pelancong, kali ini pengalamannya berbeza.

Selepas beberapa hari permohonan dihantar, saya dimaklumkan yang ‘kawasan jajahan’ saya nanti ialah di Jubilee Sports Complex, bangunan yang mengandungi kolam renang, pelbagai gelanggang badminton/bola keranjang, dan juga gimnasium.

“Wah, menarik ni. Untung-untung boleh angkat berat sekali,” bisik hati saya.

Waktu kerjanya : 5 pagi hingga 7 pagi.

Mencabar!

Beberapa minggu pertama, saya melakukan kerja-kerja mencuci di tingkat bawah. Aktivitinya : mengemop lantai bilik persalinan untuk pengguna kolam renang, menukar plastik sampah, mencuci tandas, dan yang terakhir sekali, menyapu sampah di gelanggang badminton dan bola keranjang.

Mudah bukan?

Mulanya sedikit sukar sebab kawasannya agak luas, dan saya perlu habiskan semua kerja dalam masa kurang dari 2 jam. Menjelang jam 7, pengguna kompleks sukan pun sudah mula masuk. Maka perlu kerja bersistem dan pantas. Bukan sekadar ikut suka, tapi ada corak tertentu.

Contohnya, mula-mula tukar plastik sampah. Kemudian ingat lokasi tong sampah supaya tahu aturan, tong sampah mana yang perlu saya tuju dahulu. Habis semua tong sampah, pantas pula mencapai mop lalu mula mengemop dari hujung bilik hingga ke pintu dan seterusnya.

Selepas beberapa hari, ianya sudah menjadi rutin. Maka kadang-kadang sambil otak berfikir tentang PhD, tangan secara automatik menukar plastik sampah. Tak perlu ingat lokasi tong sampah, kaki secara automatik pergi dari satu tong sampah ke tong sampah yang lain. Ya, macam robot, tapi robot yang pintar

Minggu-minggu seterusnya saya bertugas di tingkat atas pula, kawasan gimnasium. Rutinnya hampir sama, cuma tambahannya saya perlu menyedut habuk di karpet gimnasium menggunakan HENRY, jenama pembersih vakum paling terkenal di kalangan tukang cuci. Kenapa? Sebab Henry tahan lasak. Ditarik dilanggar pun Henry tetap tersenyum.

Pengalaman paling meremangkan bulu roma dan mengembangkan tekak saya ialah apabila terpaksa mencuci sinki dalam tandas yang penuh berisi muntah. Mengenangkan pemandangan itu kembali pun sudah meloyakan. Setelah pelbagai cara dicuba, akhirnya saya ambil keputusan untuk letakkan tanda “OUT OF ORDER” sahaja di pintu tandas, kemudian laporkan pada penyelia. Selesai masalah, tapi bau itu masih melekat di hidung.

Pengalaman begini banyak membentuk cara saya berfikir dan cara saya memandang manusia sekeliling. Insaf dan sedar di kalangan kita ada manusia yang kurang bernasib baik, terpaksa bergelumang dengan kotoran setiap hari untuk mencari sesuap nasi. Seperti saya pada ketika itu – mencari sesuap nasi sambil berjuang mendapatkan ijazah PhD.

Sesuatu yang sukar dan meletihkan, namun untuk hidup, inilah perjuangan yang perlu saya tempuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>