Kembara PhD – Untuk Masa Depan

Perjalanan dari Parit Raja ke Kelana Jaya mengambil masa selama lebih kurang 3 jam. Setiap hujung minggu, rutin saya ialah berulang alik di kedua-dua destinasi ini untuk mengikuti kelas Sijil Pengajian Syariah di UM. Alhamdulillah, sebelum berlepas ke UK, saya sempat menyudahkannya. Kelas Silat Cekak Hanafi juga sempat saya tamatkan.

Pada malam itu, minda saya penuh dengan pelbagai persoalan. Sepanjang pemanduan, otak saya ligat berfikir. Tarikh untuk berlepas ke UK semakin dekat.

Saya meluahkan perasaan pada isteri di sebelah.

“Kadang-kadang abang rasa takut pun ada. Boleh ke buat PhD ni? Macam mana kalau tak lepas?”

“Kalau kita fikirkan takut, memang akan ada perasaan tu. Biasalah, sebab tak buat lagi. Abang kan Abu Handzalah. Insha-Allah, abang boleh. Abang dah buktikan kejayaan abang dalam akademik selama ini.”

Kata-kata isteri saya sedikit sebanyak memberi motivasi kepada saya.

Sewaktu di tahun akhir pengajian ijazah sarjana kejuruteraan, saya memang tidak terfikir untuk memburu segulung ijazah PhD. Bagi saya sudah cukup di tahap itu. Selebihnya hanya perlu cari duit untuk sara hidup dan jadi kaya.

Namun bila pulang ke Malaysia, saya mula berubah fikiran. Melihatkan keadaan abah yang semakin uzur, saya memilih untuk mencari tempat kerja yang tidak terlalu jauh dari emak dan abah. Harapan saya ialah supaya ada kelapangan untuk saya menjenguk mereka setiap minggu; bertanya khabar, menghulurkan sedikit duit tanda terima kasih dan menggembirakan mereka.

Abah pernah dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas sewaktu saya masih di London. Sesak nafas yang berpunca dari keadaan paru-parunya yang semakin teruk. Sejak itu, kesihatannya terjejas. Walaupun secara luarannya abah nampak seperti normal, namun sebagai seorang anak, saya tahu yang abah semakin uzur.

Ironinya, dalam saya ingin berada dekat dengan emak dan abah, saya terpaksa pergi lebih jauh. Tempohnya juga paling kurang 3 tahun, biasanya membawa ke 4 tahun.

“Abang sebenarnya ada juga rasa sedih bila nak pergi ni. Sepatutnya sekarang ni masa untuk abang jaga abah dengan emak. 6 tahun abang berjauhan dengan mereka. Sekarang bila dah ada kerja, nak pergi lagi 3 tahun.”

Suara saya tersekat-sekat menahan sebak. Air mata bergenang.

“3 tahun tu lama. Macam-macam boleh jadi. Abah pun dah uzur. Masa abang undergrad dulu, hampir setiap tahun ada saja ahli keluarga yang meninggal dunia. Abang tak boleh bayangkan kalau itu terjadi pada abah.”

Emosi saya sedikit terganggu malam itu. Saya mengira-ngira, berapa hari sajalah saya meluangkan masa dengan emak dan abah. Selepas tamat sekolah menengah, cuma beberapa bulan sebelum akhirnya ke Shah Alam untuk persediaan ke UK. Selebihnya lebih banyak masa di sana berbanding di Malaysia.

“Tapi tak apalah, nak buat PhD ni pun untuk sampaikan ilmu pada orang lain. Mudah-mudahan Allah redha dan mudahkan. Mudah-mudahan Allah jaga abah dan emak.”

Saya sudahkan dengan kata-kata yang memujuk hati. Kita semua kepunyaan Allah. Apalah daya saya bila sudah berjauhan. Hanya doa sahaja yang mampu saya titipkan agar Allah berikan mereka kesihatan, dan semoga saya sempat menghabiskan pengajian sewaktu mereka masih hidup.

Itu harapan saya sebelum pergi.

Kita merancang namun Allah jualah sebaik-baik perancang…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>